Thursday, 8 December 2011

PEMIKIRAN KRITIS

Pemikiran kritis didefinisikan sebagai satu penerokaan yang bertujuan mengkaji situasi, fenomena, persoalan atau masalah untuk menghasilkan rumusan yang merangkumi semua maklumat yang ada. Pemikiran kritis adalah penggunaan kemahiran intelektual untuk menilai dan mempertimbangkan sesuatu situasi. Selain itu, pemikiran ini melibatkan penyusunan kembali konsep-konsep dengan tujuan menilai sesuatu objek atau situasi. Di samping itu, pemikiran kritis merangkumi perkara-perkara berikut:
  • Kefahaman untuk menghujahi
  • Usaha mengumpul maklumat
  • Pertimbangan tentang kebaikan dan kelemahan
  • Usaha mengetepikan makna yang kabur dan kesimpulan yang tidak munasabah
Dengan kata lain, pemikiran kritis mendorong seseorang menguji kebenaran sesuatu perkara atau masalah agar tidak membentuk kesimpulan yang salah.
Manakala komponen kemahiran berfikir secara kritis dalam membuat keputusan boleh terbahagi kepada beberapa bahagian. Ia adalah membanding dan membezakan, membuat kategori, meneliti bahagian-bahagian kecil dan keseluruhan, menerangkan sebab, membuat urutan, menentukan sumber yang dipercayai, membuat ramalan, mengusul periksa andaian dan membuat inferens.
Pada bahagian pertama dalam membuat keputusan, seseorang hendaklah mempunyai kemahiran  membanding dan membezakan. Kemahiran ini membolehkan seseorang itu meneliti persamaan dan perbezaan antara 2 objek, peristiwa dan sebagainya berdasarkan aspek-aspek tertentu. Contoh kemahiran membanding dan membezakan adalah membanding dan membezakan antara tokoh misalnya antara Tun Abdul Razak dan Tengku Abdul Rahman, antara 2 pekerjaan seperti nelayan dan petani, antara dua bentuk seperti segi tiga dan pyramid, dua peristiwa dan sebagainya. Alat berfikir yang dapat digunakan adalah pengurusan grafik membanding dan membeza.
Kemudian kita hendaklah membuat kategori. Membuat kategori atau kemahiran mengkategorikan adalah aktiviti minda yang mengkelompokkan maklumat, objek atau perkara ke dalam kumpulan atau kelas yang ditetapkan mengikut ciri-ciri sepunya yang dapat diperhatikan. Misalnya, apabila anda menyaring, mengindang, menapis dan memilih maklumat serta meletakkan suatu perkara itu di bawah satu label atau tajuk dan sebagainya, anda sebenarnya sudah melakukan aktiviti minda iaitu mengklasifikasikan dan mengkategorikan.
Selepas itu, kita perlulah meneliti bahagian-bahagian kecil dan keseluruhan. Kemahiran ini dapat membantu kita melihat dengan jelas bahagian-bahagian kecil dalam suatu benda, organisma ataupun sistem serta fungsinya dan kaitan bahagian-bahagian kecil ini dengan keseluruhan dan bagaimana setiap bahagian itu berfungsi. Hal ini membantu kita memahami dengan jelas situasi sekeliling kita.
Seseorang yang berfikir secara kritikal akan menerangkan sebab untuk setiap keputusan yang dipilih dan membuat urutan bagi setiap bahagian. Bagi mendapatkan pilihan atau keputusan yang terbaik seseorang itu juga hendaklah menentukan dan memilih sumber yang dipercayai. Setelah itu, membuat ramalan, mengusul periksa andaian dan membuat inferens.

No comments:

Post a Comment