Thursday 8 December 2011

KOLEKSI CERITA PENDEK

ARNAB YANG PEMALAS
Cerita kanak-kanak tentang dua sahabat.
Di sebuah hutan tinggal sepasang sahabat. Mereka ialah seekor arnab dan seekor tupai. Setiap hari mereka menghabiskan masa bersama-sama. Pada suatu hari, tupai berkata kepada arnab, “Mari kita buat sarang. Sekarang dah tiba musim hujan. Apabila hujan, kita ada tempat berteduh.” “Ya, betul kata awak. Tapi biarlah saya berehat dulu,” jawab arnab. Pada petang itu, hujan turun dengan lebatnya. Tupai dan arnab berteduh di bawah pokok. Mereka basah dan kesejukan.”Jika kita ada sarang, tentu kita tak akan basah begini,”kata tupai. “Ya, betul kata awak,” jawab arnab. “Pagi esok kita akan buat sarang,” kata arnab lagi.

 Keesokan pagi, cuaca sungguh baik. Tupai mengajak arnab menbuat sarang. “Lebih baik kita pergi cari kayu untuk membuat sarang,” kata tupai. “Tapi bukan sekarang,” jawab arnab. “Kita masih ada banyak masa lagi. Marilah kita pergi cari makanan. Saya sungguh lapar!” Tupai menggeleng-geleng melihat sikap sahabatnya itu. Pada petang itu, hujan turun lagi. Tupai dan arnab basah kuyup kerana tiada tempat berteduh. “Alangkah baiknya jika kita ada sarang,” kata tupai. “Esok kita mesti buat sarang. Saya tak mahu terus basah seperti ini sewaktu hujan.” Arnab yang pemalasitu tidak menghiraukan rungutan sahabatnya. “Kita tunggu esok sahajalah,” kata arnab.


KERBAU BALAR
Dalam sekumpulan kerbau, ada sepasang kerbau balar. Warna kulitnya merah, tidak hitam seperti kerbau-kerbau yang lain. Oleh kerana kulit yang berbeza warnanya itu, kerbau balar selalu dihalau oleh kerbau lain. Kedua-duanya tidak dibenarkan makan bersama dan tidur sekandang.
 "Rupa kamu tidak sama dengan kami," kata kerbau yang lain itu.
 Kedua-dua kerbau balar itu sangat sedih kerana mereka selalu disisihkan.
 Pada suatu musim ,kerbau hitam dan kerbau balar itu mendengar tuan mereka akan menangkap mereka. Semuanya akan dihantar dan akan dipakaikan gelang merah.
 Pada suatu hari, kedua-dua kerbau merah itu tersesat ke tempat orang menyembelih kerbau. Kerbau balar melihat beberapa kepala dan kaki kerbau bergelimpangan di kawasan itu. Lalu selepas itu tahulah mereka apa yang sebenarnya terjadi.
 Ketika kerbau-kerbau lain di tangkap , kedua-dua ekor kerbau balar itu melarikan diri ke hutan. Kerbau-kerbau yang lain semuanya di sembelih.
Selamatlah kedua-dua kerbau balar itu. Lalu kedua-duanya menjadi kerbau liar yang susah untuk ditangkap lagi.


KAWAN YANG TIDAK JUJUR
 Terdapat seekor rubah bernama Joe. Ia mempunyai sahabat bernama Ronnie. Ronnie ialah seekor keldai. Joe sangat licik. Ronnie pula seekor keldai yang kurang cerdik. Oleh itu, Joe sering mengambil kesempatan terhadap kawannya itu. Ia kerap menggunakan Ronnie bagi mendapatkan makanan. Roni hanya menurut segala kata-kata dan arahan Joe. Pada suatu petang, Joe dan Ronnie berjalan- jalan di dalam hutan. Tiba-tiba mereka terserempak dengan seekor singa.
Kedua-duanya tidak dapat melarikan diri. Joe yang licik mendapat idea untuk melepaskan diri dari singa itu. Ia berpura-pura berani di hadapan kawannya itu. “Kamu tunggu di sini. Biar aku pergi berunding dengan singa itu,”kata Joe. Joe berjalan kea rah singa. “Hai, Encik Singa! Tolong jangan makan saya! Saya akan bawakan keldai itu ke sebuah gua. Tuan boleh menikmati dagingnya yang lazat itu di sana,” kata Joe dengan lemah lembut. “Baiklah, aku akan lepas kan kau! Tapi, kau mesti bertindak cepat!” jawab singa dengan garang. Joe kembali menemui Ronnie. “Singa itu tak mahu makan kita sekarang! Lebih baik kita pergi segera dari sini dan menyorok di dalam gua ketika rubah dan keldai itu masuk ke dalam gua, singa terus menerkam rubah. Kemudian, ia membaham keldai. Kedua-dua sahabat itu menjadi makanan singa.


ANAK IKAN YANG SUKA MENIPU
Di sebuah lautan, terdapat seekor anak ikan yang nakal. Ia bernama Tony. Tony tidak disenangi rakan-rakanya kerana ia suka menipu dan mempermain-mainkan mereka. Ketika ikan-ikan lain sedang bermain, Tony akan menjerit, “Jerung! Jerung! Bersembunyi cepat!” Ikan-ikan itu ketakutan lalu lari dan bersembunyi di celah-celah batu. Tony akan mentertawakan rakannya itu. Ikan-ikan kecil amat takut dengan jerung. Jerung yang garang itu akan memakan mereka tanpa belas kasihan.
Sebab itulah mereka akan lari ketakutan apabila Tony menjerit, “Jerung! Jerung!” Namun Tony sungguh nakal. Ia berasa seronok dapat mempermain-mainkan rakan-rakanya. Ikan-ikan kecil itu mempercayai Tony, walaupun mereka selalu tertipu dengan helah Tony. Pada suatu hari, Tony menghampiri rakan-rakanya itu. Ia ingin mempermainkan mereka seperti biasa. Tiba-tiba muncul seekor jerung menghampiri mereka. Namun Tony tidak menyedari kehadiran jerung itu. “Jerung! Jerung!” Bersembunyi cepat!” Jerit ikan-ikan itu. Ikan-ikan itu lari lalu bersembunyi di celah-celah batu. Tony tidak menghiraukan jeritan rakan-rakanya. Ia menyangka mereka cuba mepermain-mainkanya. “Baiklah, kamu semua menang! Di sini mana ada jerung! Tak usahlah kamu semua mempermain-mainkan aku!” jerit Tony. Jerung itu berenang menghampiri Tony. Tony tidak sempat melarikan diri. Ia dimakan oleh jerung itu.



BUJANG TERBOYOI
Ada sepasang suami isteri yang bekerja di istana. Si isteri baru sahaja melahirkan seorang anak lelaki. Mereka menamakannya Bujang Terboyoi. Malangnya, ahli nujum menilik bayi itu boleh mendatangkan bencana. Sultan menitahkan dia dibuang ke dalam hutan.
       Si ibu amat sedih. Dia membawa anaknya merentas hutan Mereka mendaki tujuh gunung. Bujang Terboyoi berlagu memujuk ibunya.
       “Tinggalkanlah saya di sini, mak. Tuhan ada bersama-sama saya. Pergilah emak pulang. Doakanlah saya. Maafkanlah saya,” katanya Si ibu amat terharu tetapi apalah dayanya Anak ecilnya itu terpaksa ditinggalkan. Bujang Terboyoi membesar di dalam hutan. Dia menjadi pemuda yang gagah dan tampan. Pada suatu malam, Bujang Terboyoi bermimpi bahawa kedua-dua ibu bapanya amat merindukannya.
        Pada pagi esoknya, Bujang Terboyoi keluar menuju ke istana. Dalam perjalanan, dia berjumpa bermacam-macam binatang. Singa, gajah dan ular menghalang perjalanannya. Namun semuanya kasihan akan Bujang Terboyoi. Bujang Terboyoi hidup sendiri. Bujang Terboyoi hendak mencari ibu bapanya.
        Singa mengajarnya menjadi tangkas. Harimau mengajarnya ilmu melawan musuh. Gajah mengajarnya ilmu untuk menjadi kuat. Ular pula menghadiahkannya sebentuk cincin sakti.
        Tidak lama kemudian, Bujang Terboyoi sampai di istana. Semua yang melihatnya hairan. Mereka tertanya-tanya siapakah pemuda kacak itu? Putera dari manakah gerangannya?
        Bujang Terboyoi memohon menghadap Sultan. Sultan memperkenankan permohonannya . Baginda bertanya akan hajat Bujang Terboyoi.
       “Patik ingin menjaga kedua-dua orang tua ini, tuanku. Patik kasihan  melihat mereka,” kata Bujang Terboyoi. Dia menunjuk kea rah sepasang suami isteri,pekerja istana.
      “Silakanlah, beta tiada halangan,” titah sultan. Bujang Terboyoi membawa mereka ke air terjun. Dia memandikan dan melangirkan mereka pakaian yang indah-indah. Dia member mereka makan makanan yang lazat-lazat. Kemudian, bujang Terboyoi menggosok-gosok cincin saktinya. Tiba-tiba terdiri sebuah istana yang amat cantik. Kedua-dua orang tua itu amat terperanjat. Dengan segera Bujang Terboyoi melutut di kaki mereka.
       “Sayalah anak ayah dan ibu. Sayalah Bujang Terboyoi. Ampunkanlah saya ibu dan ayah,” kata Bujang Terboyoi dengan terharu. Kedua-dua ibu bapanya amat gembira. Mereka menangis kegembiraan.
       Sultan menjodohkan Bujang Terboyoi dengan puterinya. Apabila sultan mangkat, Bujang Terboyoi di tabalkan menjadi raja.


KOLEKSI PANTUN NASIHAT

Angin teluk menyisir pantai 
    Hanyut rumpai di bawah titi
Biarlah buruk kain dipakai 
    Asal pandai mengambil hati

Pergi mendaki Gunung Daik             
   Hendak menjerat kancil dan rusa         
Bergotong-royong amalan yang baik
   Elok diamalkan setiap masa

Air melurut ke tepian mandi
    Kembang berseri bunga senduduk
Elok diturut resmi padi                 
   Semakin berisi semakin tunduk

Daun sirih ulam Cik Da     
    Makan sekapur lalu mati
Walaupun banyak ilmu di dada
    Biar merunduk resmi padi

Buah pelaga makan dikikir 
    Dibawa orang dari hulu 
Sebarang kerja hendak difikir         
   Supaya jangan mendapat malu 

Kemumu di tengah pekan         
    Dihembus angin jatuh ke bawah
Ilmu yang tidak diamalkan 
   Bagai pohon tidak berbuah
Tumbuh melata si pokok tebu
   Pergi pasar membeli daging
Banyak harta tak ada ilmu 
   Bagai rumah tidak berdinding

Tulis surat di dalam gelap             
   Ayatnya banyak yang tidak kena
Jagalah diri jangan tersilap           
   Jikalau silap awak yang bencana
 
Hendak belayar ke Teluk Betong           
   Sambil mencuba labuhkan pukat
Bulat air kerana pembetung           
   Bulat manusia kerana muafakat 

 Pakai baju warna biru         
    Pergi ke sekolah pukul satu
Murid sentiasa hormatkan guru
    Kerana guru pembekal ilmu

Lagu bernama serampang laut
    Ditiup angin dari Selatan   
Layar dikembang kemudi dipaut 
    Kalau tak laju binasa badan

Padi segemal kepuk di hulu 
   Sirih di hilir merekap junjungan
Kepalang duduk menuntut ilmu
   Pasir sebutir jadikan intan.

Budak-budak berkejar-kejar
   Rasa gembira bermain di sana
Kalau kita rajin belajar           
  Tentu kita akan berjaya   

Jangan pergi mandi di lombong         
   Emak dan kakak sedang mencuci
Jangan suka bercakap bohong
   Semua kawan akan membenci

Buah cempedak bentuknya bujur
    Sangat disukai oleh semua
Jika kita bersikap jujur
    Hidup kita dipandang mulia

Jikalau tuan mengangkat peti 
   Tolong masukkan segala barang
Jikalau anak-anak bersatu hati           
   Kerja yang susah menjadi senang 

Asam kandis mari dihiris           
    Manis sekali rasa isinya   
Dilihat manis dipandang manis
    Lebih manis hati budinya 

Kayu bakar dibuat arang     
   Arang dibakar memanaskan diri
Jangan mudah menyalahkan orang
    Cermin muka lihat sendiri 

Selasih tumbuh di tepi telaga 
    Selasih dimakan si anak kuda
Kasih ibu membaa ke syurga 
    Kasih saudara masa berada

Masuk hutan pakai sepatu       
    Takut kena gigitan pacat 
 Kalau kita selalu bersatu         
    Apa kerja mudah dibuat 

Bandar baru Seberang Perai     
    Gunung Daik bercabang tiga
 Hancur badan tulang berkecai   
    Budi yang baik dikenang juga

Encik Dollah pergi ka Jambi
    Pergi pagi kembali petang
Kalau Tuhan hendak membagi   
   Pintu berkancing rezeki datang

Orang haji dari Jeddah             
    Buah kurma berlambak-lambak
Pekerjaan guru bukanlah mudah 
    Bagai kerja menolak ombak

Pinang muda dibelah dua         
    Anak burung mati diranggah
Dari muda sampai ke tua         
    Ajaran baik jangan diubah

 Terang bulan di malam sepi           
Cahya memancar kepangkal kelapa
 Hidup di dunia buatlah bakti     
    Kepada ibu dan juga bapa   

Kapal kecil jangan dibelok     
    Kalau dibelok patah tiangnya
 Budak kecil jangan di peluk     
    Kalau dipeluk patah tulangnya 

Asal kapas menjadi benang 
    Dari benang dibuat kain           
Barang yang lepas jangan dikenang   
    Sudah menjadi hak orang lain

Tengahari pergi mengail     
    Dapat seekor ikan tenggiri
 Jangan amalkan sikap bakhil 
    Akan merosak diri sendiri

Kapal Anjiman disangka hantu
    Nampak dari Kuala Acheh
Rosak iman kerana nafsu     
    Rosak hati kerana kasih 
 
Tingkap papan kayu bersegi       
   Sampan sakat di Pulau Angsa
Indah tampan kerana budi   
   Tinggi darjat kerana bahasa

Anak Siti anak yang manja   
    Suka berjalan di atas titi 
Orang yang malas hendak bekerja         
    Pasti  menyesal satu hari nanti

Bintang tujuh sinar berseri             
    Bulan purnama datang menerpa
Ajaran guru hendak ditaati         
    Mana yang dapat jangan dilupa

Parang tajam tidak berhulu 
    Buat menetak si pokok Ru
Bila belajar tekun selalu     
     Jangan ingkar nasihat guru

Hari malam gelap-gelita
   Pasang lilin jalan ke taman
Sopan santun budaya kita               
   Jadi kebanggaan zaman berzaman
 
Pergi berburu sampai ke sempadan
     Dapat Kancil badan berjalur
 Biar carik baju di badan         
     Asalkan hati bersih dan jujur

 Pulau Pandan jauh ke tengah 
     Gunung Daik bercabang tiga
Hancur badan dikandung tanah
    Budi yang baik di kenang juga
   
Ramai orang membeli jamu         
    Di bawah pokok cuaca redup
Bersungguh-sungguh mencari ilmu
    Ilmu dicari penyuluh hidup 

 Apa guna berkain batik           
    Kalau tidak dengan sucinya?
Apa guna beristeri cantik       
    Kalau tidak dengan budinya 

Berakit-rakit ke hulu             
    Berenang-renang ke tepian 
 Bersakit-sakit dahulu             
    Bersenang-senang kemudian

  Buah cempedak diluar pagar     
    Ambil galah tolong jolokkan
 Saya budak baru belajar         
   Kalau salah tolong tunjukkan 

Pisang emas dibawa belayar 
    Masak sebiji di atas peti
  Hutang emas boleh dibayar     
    Hutang budi dibawa mati

Dalam semak ada duri         
    Ayam kuning buat sarang
Orang tamak selalu rugi         
    Macam anjing dengan bayang

 Baik-baik mengirai padi         
    Takut mercik ke muka orang
 Biar pandai menjaga diri         
    Takut nanti diejek orang 

Ke hulu membuat pagar
   Jangan terpotong batang durian
Cari guru tempat belajar       
    Supaya jangan sesal kemudian

Mari kita tanam halia         
    Ambil sedikit buat juadah
Usia muda jangan disia     
    Nanti tua sesal tak sudah

Padi muda jangan dilurut   
    Kalau dilurut pecah batang
Hati muda jangan diturut   
    Kalau diturut salah datang

Cuaca gelap semakin redup           
   Masakan boleh kembali terang
Budi bahasa amalan hidup             
   Barulah kekal dihormati orang

Orang Daik memacu kuda   
    Kuda dipacu deras sekali
Buat baik berpada-pada       
    Buat jahat jangan sekali

Dayung perahu tuju haluan             
   Membawa rokok bersama rempah
Kalau ilmu tidak diamalkan
   Ibarat pokok tidak berbuah

Kalau kita menebang jati             
    Biar serpih tumbangnya jangan
Kalau kita mencari ganti 
    Biar lebih kurang jangan

Pinang muda dibelah dua 
    Anak burung mati diranggah
Dari muda sampai ke tua 
   Ajaran baik jangan diubah 

Pantai Mersing kuala Johor                 
   Pantainya bersih sangat mashyur
Pohonkan doa kita bersyukur         
  Negara kita aman dan makmur
 
Orang tua patut disegani     
    Boleh mendapat ajarnasihat
Ular yang bisa tidak begini 
    Bisa lagi lidah yang jahat

Ramai orang menggali perigi
    Ambil buluh lalu diikat 
Ilmu dicari tak akan rugi 
        Buat bekalan dunia akhirat

Tuan Haji memakai jubah                     
   Singgah sembahyang di tepi lorong
Kalau sudah kehendak Allah             
   Rezeki segenggam jadi sekarung

Patah gading serpih tanduk
    Mari diletak di atas papan
Jika tahu ganja itu mabuk
    Buat apakah ia dimakan

Anak rusa masuk ke taman         
     Puas sudah orang memburu
Kalau muda jadikan teman
     Kalau tua jadikan guru
       
Berakit ke hulu dengan bergalah 
    Buluh pecah terbelahdua
Orang tua jangan dilangkah 
   Kelak biadap dituduhnya pula

Rusa betina berbelang kaki 
     Mati terkena jerat sembat         
Orang yang muda kita sanjungi 
     Orang yang tua kita hormat

Sorong papan tarik papan
     Buah keranji dalam perahu
Suruh makan awak makan             
    Suruh mengaji awak tak mahu

Adik ke kedai membeli halia
     Emak memesan membeli laksa
Jadilah insan berhati mulia
    Baik hati berbudi ba

ARAH TUJU BUDAK KITA

Budak-budak kita apa?
Guru…
Hakim…
Peguam…
Doctor…
Jurutera…
Pengurus wang…
Juruteknik…
…dan lain-lain…
yang mesti ada …
…sijil…
diploma
ijazah
master
phd
…boleh?…lagi bagus…
…kita kena tuju ke situ…
Tetapi…
Kita kena ingat…
Siapa budak kita…
…kena kena tunjukan dia…
…jalan dia…
…lorong dia…
…haluan dia…
…hidup dia..
dia ada hati…
dia ada emosi…
dia ada macam-macam rasa lagi…
macam orang lain…
sesuai dengan dia…
agar boleh…
…menegur umpama guru
…buat keputusan umpama hakim
…membela umpama peguam
…jaga kesihatan umpama doctor
…menilai umpama jurutera
…beri khidmat umpama juruteknik
…tak ditipu bila di pasar
…tak dihina di khalayak
…tak sumbang bila beramai
…tak kekok bila menyumbang
Boleh…
…berjalan tanpa dipimpin
…bergerak tanpa dibantu
…makan tanpa disuap
…minum tanpa dituangkan
…memberi apa yang ada
…memberi bila diminta
…melaksana bila perlu
…urus diri tanpa bantuan
…hidup bukan ehsan
…berdiri bukan bergantung
…menghargai tanpa diminta
…kenal harga diri
…kenal peribadi
…berdiri sendiri berdikari.